“Assalamualaikum umi.”
Wajah ceria umi dilihat dalam alam maya dengan sayunya. Skype menjadi penghubung Hasanah dan ibunya yang berada jauh di mata tapi dekat di hatinya sepanjang masa. Raut wajah ibunya ditatap dengan penuh syahdu. Ingin disentuh wajah itu namun jarak memisahkan mereka.
Kini telah masuk tahun keempat Hasanah melanjutkan pelajaran di bumi Mesir. Kesibukan menimba ilmu membuatkan Hasanah tidak sedar masa berlalu dengan pantasnya. Ilmu perubatan yang dipelajari semakin hari semakin bertambah. Sudah menjadi cita-cita Hasanah sejak tingkatan empat lagi hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran ini. Jika dihitung gaji yang agak lumayan, berbaloilah dengan kesibukan seorang doktor. Namun, bukanlah wang ringgit yang dipandang tetapi matlamat berbakti kepada orang ramai tersenarai dalam 100 impiannya. Walaupun pada awalnya masalah kesihatan menjadi punca dia teragak-agak untuk menceburi bidang ini, namun Allah sebaik-baik perancang. Hasanah lebih suka berserah kepada Allah setelah berusaha dan berdoa.
“Waalaikumussalam. Adik sihat? Belajar macam mana sekarang?”
Tahulah Hasanah soalan itu memang akan keluar daripada mulut seorang ibu. Bimbang tentang keadaan yang jauh di mata walaupun telah sekian lama merantau. Ibunya lebih suka bertanya tentang pelajarannya terlebih dahulu. Mungkin kerana hati ibu sudah memahami, pelajaran adalah kunci utama tahap kesihatan anaknya itu. Apabila Hasanah tertekan dalam pelajaran, mulalah kesihatan diabaikan. Sikap yang dikatakan agak tidak matang ini memang menguasai dirinya sejak sekolah rendah lagi. Pantang keputusan peperiksaannya menurun, pasti akan ditingkatkan ulangkajinya. Dirinya terasa tercabar jika tanggungjawab sebagai seorang pelajar diabaikan dengan mudahnya.
“Alhamdulillah, baik-baik semuanya. Baru lepas habis test. InsyaAllah dah buat yang terbaik, serah dekat Allah sajalah. Orang rumah semua okay? Kak Long dengan Kak Ngah ada balik?”
“Semua okay. Kak Long baru balik hari tu. Dia ambil cuti seminggu sebab nak rehat. Dah mengandung tiga bulan katanya. Kak Ngah balik minggu depan. Nak bincang mengenai perkahwinannya terus.”
“Wah, lepas ni dah ada yang panggil Mak Su. Seronok, seronok. Tahniah lah. Kak Ngah pilih ke umi abah pilih? Hehe.”
“Dia pilih sendiri lah. Zaman sekarang orang cari sendiri lah adik. Adik dah ada calon belum?”
“Aik, pilih sendiri? Adik nak suruh umi abah carikan. Malas lah nak cari. Banyak lagi kerja lain nak buat.”
Senyuman manis terukir di bibir Hasanah. Siapa sangka disebalik kesibukan menimba ilmu, hatinya tetap dimiliki oleh hamba Allah yang telah lama tidak dihubungi. Hasanah lebih memilih untuk menjauhkan diri daripada buah hatinya itu kerana tidak ingin mengganggu tahap keimanan seorang hamba yang sedang bermujahadah. Jauh di sudut hatinya, sudah mengalah mengharapkan insan yang telah bergelar seorang hafiz al-Quran itu. Dia bukanlah perempuan yang baik-baik sebaik seorang hafizah al-Quran. Dia juga bukanlah sepintar hafizah yang dapat menghafal kalam-kalam Allah yang Teragung itu. Walaubagaimanapun, Hasanah tetap nekad untuk menjaga diri sebaiknya. Mungkin bukan layak baginya untuk mendapat jodoh seorang hafiz, tetapi mungkin lebih baik dia mengharapkan dipertemukan dengan insan yang masih mampu menjadi ketua keluarga yang boleh mengimamkan solatnya kelak. Mengharapkan jodohnya itu adalah orang yang dapat mengubahnya menjadi seorang hamba Allah yang melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
Perbualan di Skype tidak dapat dipanjangkan. 15 minit yang diperuntukkan dirasakan seperti 5 minit. Tidak sempat berbual panjang berkongsi suka manis seorang perantau.
“Umi, adik ada kelas 30 minit lagi. Adik nak bersiap dulu ni. Nanti sampaikan salam dekat semua okay. Kirim salam sayang”
“Okay. Adik balik Ramadhan tahun ni kan?”
“Insya-Allah umi. Doakan segalanya lancar di sini.”
…………………
Masa berlalu dibawa angin. Kesibukan membuat persiapan perkahwinan Husnina sepanjang bulan Ramadhan membuatkan kepulangan Hasanah ke tanah air lebih diperuntukkan bersama keluarga. Bukan niatnya ingin melupakan sahabat-sahabat yang telah banyak membentuk dirinya, tatapi akalnya perlu bijak membahagikan masa antara keperluan rohani dan keperluan jasmani. Cukuplah sekadar chatting di muka buku, sudah menenangkan hati Hasanah.
Ukhti, enti dah berpunya belum? – Fatimah
Belum tiba waktunya :) – Hasanah
Enti setia dengan dia lagi ke? Enti ada dapat khabar dari dia? Ana dengar tak lama lagi dia nak bertunang. Ana stalker facebook dia. Melalui komen dan post dekat wall dia, itulah yang ana faham. –Fatimah
Alhamdulillah. Akhirnya sampai juga jodoh dia. Ana dah lama tak hubungi dia ukhti. Sebab ana dah buat persiapan awal-awal, Allah Maha Perancang kan. Mungkin ana memang suka dia, tapi Allah tahu sukanya bakal isterinya terhadap dia berlipat kali ganda hebat. –Hasanah
Insya-Allah. Enti jaga diri baik-baik okay. Selalu berdoa dijauhkan daripada bisikan nafsu :) –Fatimah
Terima kasih sahabat. –Hasanah
Sayunya hati hanya dipendamkan. Istighfar mula bermain di bibirnya. Air mata tidak dapat disekat untuk membasahi pipi. Patahnya hati apabila kesetiaan berakhir sebegitu rupa. Teringat kali pertama perkenalannya dengan hamba Allah yang sudah lama berada di carta hatinya. Hasanah akur dengan kesetiaannya. Barulah dia sedar, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Cinta itu bukanlah kejam di matanya kerana cinta itu yang telah mengubah arah hidupnya. Dia akur dengan aura cinta. Seorang perempuan yang mencintai seorang lelaki akan merasakan apa yang dikatakan oleh si kekasih adalah benar belaka. Hanya diangguk, tiada digeleng. Bersyukur juga Hasanah kerana Allah memberi peluang dia menyimpan perasaan kepada insan yang melabuhkan cinta kepada Allah.
“Enti tak perlu balik kepada cara hidup lama enti. Ana mohon, teruskanlah bersahabat dengan orang yang soleh.”
Kiriman SMS Akif lima tahun yang lalu masih segar di ingatan. Berdamping dengan orang soleh telah banyak mengubah dirinya sedikit demi sedikit. Kini berakhir sudah kesetiaan hati. Hasanah sudah lama menantikan saat ini kerana kesetiaan itu sedikit sebanyak memberi harapan palsu buat dirinya. Solat tahajjud kali ini diselubungi kesedihan. Kegembiraan kakaknya yang akan melansungkan perkahwinan esok hari sedikit sebanyak meremukkan lagi hatinya. Mungkin kerana terlintas juga di hatinya ingin memiliki kekasih halal pilihannya sendiri. Tetapi segalanya telah dilupakan apabila lelaki pilihannya akan menjadi milik wanita lain. Sudah pasrah.
…………………………
Jam menunjukkan pukul 10 malam. Majlis berjalan dengan lancar. Semakin bertambah ahli keluarga, semakin meriah rasanya. Sepanjang hari, tetamu sibuk menilik rumah banglo itu. Cantik indah dengan bertemakan White Garden. Mustahillah seorang pengurus butik perkahwinan membuat serba ringkas. Sering saja terlintas di fikiran Hasanah apabila ramai yang memuji. Hasanah juga tidak kurang sibuk. Sibuk ditemuduga, bila mahu melansungkan perkahwinan. Tidak kurang juga ada yang menawarkan khidmat pencarian jodoh. Semuanya dianggap lawak jenaka sahaja. Tidak terlintas lagi di fikirannya untuk ke arah membina masjid. Hatinya baru terubat luka, dibiarkan dahulu untuk pulih sepenuhnya.
“Mampu tak aku dapat suami yang soleh?”
“Allah izinkan tak aku dapat suami yang memahami aku?”
Lamunan dimatikan. Sekotak hadiah dihulurkan kepada Hasanah.
“Hadiah ni ada yang bagi untuk adik tadi.”
Abah berlalu pergi, kepenatan terpancar di wajah abahnya.
“Thanks dad! Selamat malam,” ceria suaranya.
“Orang lain bina masjid, orang lain dapat hadiah.”
Sempat lagi mengomel sendiri sebelum masuk ke bilik. Hadiah diletakkan di sisi katil, masih ada urusan yang belum diselesaikan. Setelah berwuduk, bacaan al-Mulk dimulakan. Sudah menjadi runtinnya sejak mendapat ilham daripada Allah. Bacaan ini diharap sedikit sebanyak dapat mebantunya menghadapi seksaan di akhirat kelak. Nauzubillah, hikmah pembacaan al-Mulk terlalu besar baginya. Badan dibetulkan menghadap ke arah kanan. Sunnah Rasulullah sedikit sebanyak mengingatkannya kepada Rasul terakhir utusan Allah. Hadiah. Matanya memerhati lagi, tidak sempat dilelapkan. Sekeping kad disertakan.
Assalamualaikum doktor,
Terimalah hadiah ini seadanya.
Selamat mencari kemanisan Islam,
Saya tunggu awak habis belajar.
Semoga Allah menjaga awak untuk saya (:
……………………….
Tarikh 27 Jun menjadi pilihan pasangan termuda dalam keluarga Encik Anwar ini. Anak bongsu perempuannya memilih untuk menamatkan zaman bujang seawal usia 24 tahun. Bukan kerana sudah tidak sabar, bukankah lebih baik mendirikan masjid lebih awal apabila tiba masanya adalah yang terbaik bagi menjaga hatinya yang sudah lama bersabar untuk menatap wajah bakal zaujnya.
Seperti yang diceritakan abah, pemilik hadiah adalah lelaki yang baik. Cukuplah bagi Hasanah menerima lamaran lelaki itu apabila mengetahui bahawa lelaki itu bertemu abah di masjid. Bertambah yakin lagi hati Hasanah apabila hadiahnya itu adalah tudung labuh. Hasanah beranggapan, tudung labuh itu menunjukkan lelaki itu mampu mengubah dirinya kelak. Semestinya ke arah kebaikan.
Perkahwinan Hasanah banyak menimbulkan kontroversi dalam kalangan keluarga besarnya. Tidak pernah terjadi dalam keturunan itu, berkahwin tanpa bertunang. Ditambah kekesalan lagi apabila Hasanah menerima lelaki itu tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Dibiarkan sahaja orang berkata-kata. Hasanah sudah menjangkakan keluarga besarnya yang mempunyai darah perniagaan itu akan mencemuh dirinya. Pilihan ayahnya pasti yang terbaik buatnya. Mustahil ayahnya mencari yang tidak sekufu buatnya.
“Kenapa budak tu tak siasat dulu latar belakang laki tu. Nanti dapat tukang sapu baru tahu. Buat malu keluarga je.”
“Hasanah tak takut ke laki tu gemuk ke, tak sesuai dengan Hasanah.”
Dirinya sendiri selama ini dianggap asing kerana tidak mengikut perkembangan berfashion. Namun jalan manakah yang benar. Berlandaskan Islam atau berlandaskan masa? Akur dengan tazkirah yang pernah dibaca. Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara. Persaudaraan kerana Islam lebih mahal nilainya berbanding persaudaraan kerana pertalian darah. Keluarga kandung boleh sahaja bergaduh kerana gilakan harta, tetapi orang mukmin tetap menghormati sesama mereka dalam pembahagian harta.
….
Telah sah sudah Nurul Hasanah binti Hassan menjadi bidadari dunia Abdul Hakim bin Razman dengan sekali lafaz. Hasanah melihat sekilas wajah Hakim ketika sesi pembatalan air sembahyang. Perasaan malu masih menebal. Sejak awal pagi lagi, sesuatu bermain di fikiran Hasanah. Wajah ibu mertuanya dan kakak iparnya seperti pernah dilihat. Pandangan sekilas wajah suaminya juga membuatkan
Hasanah panik.
Akhirnya, saat yang dinantikan Hasanah untuk memakai blaus pengantin menjadi kenyataan. Cantik mempesonakan. Tetamu yang hadir seakan-akan tidak percaya Hasanah tampil secomel bidadari. Mungkin kerana sikap Hasanah yang sangat bersederhana selama ini, tidak berminat untuk make up dan berpakaian secantik itu walaupun berkerjaya. Hari ini Hasanah tampil dengan kelainan untuk menjaga hati kekasih halalnya.
“Akif”
Hasanah sentap melihat wajah Akif di majlis itu. Agak kehairanan kerana majlis itu hanyalah untuk ahli keluarganya terdekat kedua belah pihak sahaja. Matanya tajam memerhatikan pergerakan Akif. Menghampiri meja santapan keluarga pihak lelaki.
“Awak, jom teman saya jumpa keluarga saya.”
Tangan Hasanah dipimpin Hakim. Akur tanpa sebarang kata-kata.
“Hakim, mama nak balik dah,”
“Mama terus balik rumah? Kalau mama nak bercuti dekat sini Hakim boleh minta pekerja Hakim simpankan hotel untuk Mama,”
Terdiam Hasanah. Dia tidak pernah mengenali Hakim. Jadi, tidak dapat disampuk perbualan itu. Hanya senyuman yang terukir.
“Boleh juga. Bukan selalu datang sini.”
“Okay mama. Nanti Hakim dengan Nurul datang tengok Mama esok okay. Boleh Nurul?”
Mata Hakim bertentangan dengan mata Hasanah. Berdegup kencang jantung insan yang baru bergelar isteri itu.
“Boleh saja. Tapi Nurul kurang tahulah tempat yang best dekat sini. Tak sempat menjelajah negeri sendiri. Banyak merantau negeri orang.”
“Itu no hal lah, sayang. Pemandu pelancong kan ada.”
Senyum sahaja dibalasnya. Hasanah sudah mula tidak senang duduk. Masih kekok dengan kaum lelaki. Terasa masih asing. Kegelisahan itu membuatkan lupa akan bayangan Akif tadi.
……………………….
Kereta BMW milik Hakim meluncur laju menuju ke tempat penginapan ibunya. Hasanah hanya diam. Suasana dalam kereta hanya diriuhkan dengan radio.
“Kenapa awak terima saya?” Hakim memulakan perbualan.
Sepi. Tiada jawapan.
“Nurul. Awak di sini kah?”
“Eh, apa awak tanya?”
“Saya tanya kenapa awak sudi terima saya walaupun tak pernah kenal,”
“Kenapa awak bagi saya tudung labuh?”
“Kenapa awak tak jawab soalan saya dulu?”
“Kenapa awak nak tahu?”
“Sebab saya suami awak.”
Hasanah terdiam. Menarik nafas, tenang.
“Saya terima awak sebab pemberian awak. Kenapa awak hadiahkan saya?”
“Saya nak isteri pakai tudung labuh. Cantik macam awak.”
Dicuit pipi Hasanah tanpa meminta izin.
“Eh, senangnye dia.”
Dibalas cubitan di paha Hakim. Kemesraan mula diperoleh.
“Kenapa dengan tudung labuh yang saya hadiahkan dekat awak tu?”
“Saya yakin awak boleh ubah saya ke arah kebaikan.”
“Tapi saya ni bukan budak sekolah agama macam awak dulu.”
“Siapa cakap budak sekolah agama saja mampu bimbing orang lain. Eh, awak kenal saya dari mana erk?”
Telefon bimbit Hakim berbunyi. ‘Mama’.
“Sayang, angkatkan. Saya tengah drive.”
“Eh, tak biasa lah.”
“Mama awak jugak.”
Diikuti sahaja arahan Hakim. Walaupun Hakim banyak mengarahnya tetapi dianggap sahaja sebagai senda gurau.
“Assalamualaikum abang. Akif ni. Abang, mama cakap mama tunggu dekat restoran bawah hotel. Jangan lupa bawak kakak ipar Akif yang abang sayang sangat-sangat tu yeah. Jumpa nanti, okay.”
Talian diputuskan. Wajah Hasanah mula berubah. Apa lagi yang Allah aturkan untuk hamba-Mu ini Ya Allah.
“Nurul, kenapa?”
“Oh, Akif call bukan mama. Dia cakap mama tunggu dekat restoran bawah hotel.”
“Dah agak dah,”
“Apa yang dah agak?”
“Akif yang telefon. Kalau dia cakap memang tak ada noktah. Lansung tak bagi peluang dekat orang lain. No wonder lah awak tergamam.”
Hakim ketawa kecil. Hasanah makin terkesima.
“Akif tu siapa?”
“Orang yang kenalkan awak pada saya,”
…………………………..
“Kenapa mesti kau buat aku camni?”
“Buat apa?”
“Kau jangan pura-pura tak tahulah. Kau memang nak hancurkan hidup aku kan?”
“Weh, aku tak bermaksud apa-apa pun. Hakim tu…”
“Hakim apa? Kau kalau tak nak dekat aku pun janganlah sampai jual aku dekat kaum kerabat kau.”
“Hasanah, tak ada niat pun. Sebenarnya Hakim tertarik dengan kau waktu dia nampak kau dekat sekolah waktu ambil result SPM lagi.”
Hasanah berlalu pergi ke arah meja utama restoran, meninggalkan bilik air di belakang dapur restoran.
“Hasanah, Allah aturkan segalanya cantik. Mungkin dah tiba masa awak gunakan cinta terhadap manusia mendekati cinta kepada Allah pula.”
Berhenti seketika. Menarik nafas. Tidak sanggup kelihatan sayu di hadapan ahli keluarga yang lain.
…………………….
Tempoh seminggu bercuti telah tamat. Hasanah terpaksa kembali bekerja. Seminggu bersama Hakim sepenuh masa seperti masih belum habis taaruf. Hati Hasanah mula terbuka kepada Hakim. Pasangannya itu sangat pandai membuka pintu hatinya. Mungkin kerana sudah halal, terasa lebih bersemangat menjalin kasih.
“Sayang, terima kasih.”
“Erm?”
“Sebab awak selalu ajak saya Qiam. Waktu bujang dulu, saya malas tahu nak Qiam.”
“Kenapa malas?”
“Balik lewat malam lah sayang. Banyak kerja dekat pejabat.Nanti tak cukup rehat.”
“Aik? Alasan.”
Hasanah sudah mengerti sekarang apa yang dikatakan oleh Akif. Bimbinglah orang untuk mencintai Allah. Tiada salahnya dikorbankan cinta, asalkan ikhlas kerana Allah. Kasih pada manusia hanya sementara, tetapi kasih pada Allah akan kekal abadi. Berkorban di jalan Allah pasti ada baiknya. Sesungguhnya Allah Maha Perancang.
“Nurul pun nak cakap terima kasih dekat abang. Sebab sekarang bila Nurul Qiam dah ada yang teman. Biasanya suruh Allah sampaikan salam rindu dekat bakal suami Nurul. Sekarang dah ada depan mata.”
“Patutlah abang rindu Nurul sepanjang masa.”
………………..
Pagi itu Hakim menghantar Hasanah ke hospital. Hari pertama menjejakkan langkah ke tempat kerja setelah seminggu bercuti membuatkan Hasanah sedikit berat hati. Tetapi masih ramai pesakit yang memerlukan dia. Rindu pada suasana hospital, membuatkan Hasanah bergegas melangkah masuk. Terlupa untuknya meminta nombor telefon bimbit suaminya itu. Manakan tidak, selama ini hanya berkepit. Tidak pernah berpisah jadi tiada keperluan meminta nombor telefon. Buntu Hasanah, bagaimana cara untuk menghubungi Hakim untuk menjemputnya. Buntu.
Abang tunggu Nurul dekat luar.
Pengirim, “weird”.
Hasanah terduduk sebentar. Terasa lemah. Siapa sangka mesej tazkirah yang tidak putus-putus dihantar oleh orang yang tidak dikenalinya selama ini telah menjadi suaminya. Siapa lagi yang akan memanggilnya dengan gelaran Nurul melainkan Hakim. Pernah juga Hasanah bertanya kepada insan yang dipanggil weird itu siapakah gerangan empunya badan. Tetapi mesejnya tidak terbalas.
Menuju ke kereta milik suaminya. Dihulurkan tangan untuk bersalam dengan Hakim. Kali ini senyuman tidak terukir sejelas biasa.
“Kenapa?”
“Abang yang hantar mesej tazkirah dekat Nurul selama ni?”
Hakim hanya mengangguk.
“Kenapa tak pernah cakap siapa abang dekat Nurul?”
“Sebab abang tak nak kacau Nurul. Nurul kan budak baik.”
“Terima kasih abang sebab jaga Nurul dari dulu.”
Hasanah rasa sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang sangat menyayanginya. Dirinya terasa dihargai. Perancangan Allah penuh dengan rahsia. Allah pisahkan Hasanah dengan Akif kerana Allah tahu Hakim lebih memerlukan dia. Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya tidak pernah putus. Cuma manusia yang tidak pandai menghargai. Kebanyakan manusia tidak pernah bersyukur dengan kurniaan Allah. Yang dilihat ialah apa yang dia mahu, harus diperoleh! Pengalaman hidup Hasanah sangat manis setelah diduga oleh Allah. Dugaan itu adalah tanda kasih Allah pada hamba-Nya.
jalan cerita menarik...kita merancang Allah juga merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah.. :)
ReplyDelete